All News

SEFB : SUMBANGAN RAMADHAN 1440H/2019 MEMBERIKAN KEINSAFAN

sumbangan aidilfitri

SEFB ONLINE – Pada 30 Mei 2019 bersamaan dengan 25 Ramadhan 1440H, Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB) telah melaksanakan program “Sumbangan Ramadhan 2019” yang disasarkan kepada 5 buah keluarga kurang berkemampuan di sekitar Changlun dan juga 11 kakitangan UPSB yang berkhidmat di SEFB.

Program “Sumbangan Ramadhan” ini dilaksanakan melalui kutipan ikhlas dari semua warga SEFB dan ini merupakan kali ke-3 program seumpama ini dilaksanakan. Program ini bertujuan untuk menggalakkan aktiviti bersedekah di bulan Ramadhan di samping mengeratkan hubungan di antara UUM dan masyarakat sekitar. Kebanyakan keluarga yang dilawati mempunyai masalah kesihatan seperti lumpuh dan strok, ibu tunggal dan anak yatim. Program seumpama ini telah memberikan keinsafan kepada staf SEFB yang terlibat kerana masih ada insan-insan di sekeliling UUM yang hidup dalam keadaan serba kekurangan dan daif.  Lawatan dari rumah ke rumah ini diketuai oleh Prof. Madya Dr. Mukhriz Izraf Azman Aziz dan diiringi oleh Dr. Juhaida Abu Bakar, Dr. Norzalina Ahmad dan En. Kolawole Emmanuel.

Di samping lawatan dari rumah ke rumah, SEFB tidak melupakan penat lelah kakitangan UPSB yang menjaga kebersihan di SEFB. Sehubungan itu, satu majlis sumbangan telah diadakan pada jam 10.00 pagi yang dihadiri oleh Dekan SEFB, Prof. Dr. Russayani Ismail. Seramai 11 kakitangan UPSB telah menerima sumbangan wang tunai hasil dari kutipan ikhlas warga SEFB.

SEFB akan menjadikan program “Sumbangan Ramadhan” ini sebagai acara tahunan sebagai salah satu usaha mendekatkan UUM dengan masyarakat setempat di samping membantu mereka yang memerlukan. Semoga usaha murni ini beroleh rahmat dan keampunan Allah SWT.

HABIS.