SYAWAL BERSERI TERIMA BINGKISAN AIDIL FITRI SEFB
SINTOK, 4 April – “Khidmat yang anda semua berikan, amatlah kami hargai dan pandang tinggi”, begitulah antara intipati ucapan oleh Yang Berusaha Dekan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB), Prof Madya Dr Bakti Hasan Basri kepada lapan orang kakitangan UUM Property Sdn Bhd (UPSB) yang bertugas di bangunan SEFB. Mereka telah diraikan di dalam sebuah majlis ringkas iaitu BINGKISAN AIDIL FITRI SEMPENA 40 TAHUN UUM BERSAMA ALUMNI yang diadakan di Bilik Mesyuarat Utama (BMU). Bagi menghargai jasa kakitangan UPSB, SEFB telah membuat kutipan dana yang di sumbang oleh warga kakitangan pusat pengajian dan juga para alumni.
Bahang kemeriahan syawal kian terasa, sudah tentu persediaan perlu dilakukan. Justeru, lapan orang kakitangan UPSB yang bertugas di bangunan ini telah diberikan sumbangan dalam bentuk barangan bagi menyambut Syawal berserta duit raya. Penyampaian sumbangan disempurnakan oleh Dekan SEFB di BMU, SEFB.
“Alhamdulillah, semoga pemberian ini dapat membantu sahabat-sahabat di UPSB untuk membuat persiapan raya yang bakal tiba. Ini adalah satu usaha yang baik dan merupakan antara aktiviti tahunan pusat pengajian bersama kelab kebajikan SEFB untuk berkongsi rezeki kepada yang memerlukan. Tanpa khidmat tuan dan puan, sudah tentu kawasan sekitar SEFB tidak akan selesa dan bersih,” katanya.
Semua penerima menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada pihak pengurusan SEFB yang sudi menyalurkan sumbangan kepada mereka. Mereka meninggalkan majlis dengan wajah yang berseri-seri menanti lebaran yang bakal tiba tidak lama lagi.
HABIS