All News

Pengukuhan ekonomi untuk kesejahteraan rakyat

news 001

Sintok: Perbincangan Pra Bajet 2024 menyuarakan pandangan kritis berkenaan isu semasa negara yang berkaitan dengan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12), berlangsung di EDC-UUM, baru-baru ini.

Pengerusi Majlis Profesor UUM, Prof. Dr. Rosna Awang Hashim dalam ucapan aluannya berkata, usaha ini amat berketepatan dengan keadaan suasana ekonomi, perbincangan yang menjurus kepada tiga isu utama yang sememangnya memerlukan perbincangan kritis.

“Sumbangan idea pandangan dan cadangan resolusi pada hari ini boleh menjadi pencetus kepada penambahbaikan polisi sedia ada malah mungkin menjadi pemangkin kapada  dasar baru,” katanya.

Menurutnya, perkongsian saranan para akademia amat penting dalam menyampaikan strategi dan pandangan dalam kepelbagaian dasar fiskal agar dapat membantu kerajaan untuk melihat dan menimbang sesuatu isu ekonomi dengan lebih praktikal dan mampu memberi impak tinggi dalam pelaksanaan.

Beliau berharap agar perbincangan dan kerjasama seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang dan mampu memberi impak kepada pembuatan keputusan dasar di peringkat negeri mahupun negara. 

Sementara itu, Dekan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB UUM), Prof. Madya Dr. Bakti Hasan Basri berkata, Pengukuhan Ekonomi untuk Kesejahteraan Rakyat merupakan tema kepada perbincangan kali ini dengan membawa tiga isu utama iaitu Subsidi Bersasar, Kos Sara Hidup dan Pemerkasaan sumber manusia.

“Saya melihat betapa pentingnya untuk sentiasa membuka ruang perbincangan yang dapat memberi solusi yang bernas dan tuntas bagi setiap isu yang akan diutarakan dalam setiap fokus.

“Justeru, diskusi ini dilihat sebagai satu wadah yang baik khususnya dalam menuju ke arah matlamat ekonomi yang kukuh demi memberi kesejahteraan kepada semua rakyat Malaysia,” ujarnya ketika merasmikan Perbincangan Pra Bajet 2024 anjuran Institut Dasar Ekonomi dan Kewangan (ECOFI), dengan kerjasama Majlis Profesor Universiti Utara Malaysia (MPUUM) dan pertubuhan Akademi Profesor Malaysia (APM).

Hasil perbincangan merupakan satu memorandum Pra Bajet 2024 yang akan diserahkan kepada Kementerian Kewangan (MOF). Kerjasama bersama MPUUM dan APMUUM membuka suatu lembaran baru dalam menyarankan strategi dan dasar kepada Kementerian Kewangan (MOF).

Manakala Prof. Madya Dr. Shazida Jan Mohd Khan mewakili mewakili Pengerusi Pertubuhan Akademi Profesor Malaysia di bawah Kluster Ekonomi dan Kesejahteraan berkata, perbincangan ini berkait rapat dengan RMK-12 yang memberi tumpuan kepada perkara utama.

Antaranya, pengukuhan ekonomi untuk kesejahteraan rakyat dan keterangkuman, mempertingkatkan kemampanan serta memperkasa pemangkin pertumbuhan dan pembangunan kemahiran, pendigitalan dan tadbir urus.

“Walaubagaimanapun dalam perbincangan ini, tumpuan diberi kepada isu yang mengekang pengukuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

“Tumpuan perbincangan kepada isu kos sara hidup, subsidi bersasar dan pemerkasaan sumber manusia. Tiga isu ini dilihat perlu diselesaikan bagi mencapai kesejahteraan rakyat atau dengan kata lain pengukuhan ekonomi perlu bermula dengan menangani tiga isu ini,” ujarnya.

Hadir sama, Prof. Emeritus SEFB, Prof. Dr. Dato’ Jamalludin Sulaiman, Naib Canselor UNISHAM, Prof. Dato Dr. Asmadi Mohamed Naim dan Prof. Dr. Jamal Ali dari MPM.