Pada 17-19 Julai 2017, Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan School of Economics and Business, University of Sarajevo (UNSA) telah berjaya menganjurkan The 5th International Conference on Banking and Finance (ICBF) bertempat di Sarajevo, Bosnia-Herzegovina. Perganjuran persidangan secara bersama ini merupakan permulaan kepada pengisian kerjasama antara UUM dan UNSA, dua buah universiti yang sama sama memiliki akreditasi AACSB, setelah termeterai Memorandum Kerjasama (MoU) pada 17 Mei 2017.
Tema konferen yang bertajuk “Inclusion, Inequality, and Financial Stability-New Challenges” telah menarik minat peserta tempatan dan antarabangsa daripada 6 negara iaitu Malaysia, Amerika Syarikat, United Kingdom, New Zealand, Korea Selatan dan Bosnia-Herzegovina.
Penolong Naib Canselor Kolej Perniagaan (COB) yang juga Dekan SEFB, Prof. Dr. Yusnidah Ibrahim dalam ucapannya beliau melahirkan rasa kesyukuran kerana dapat meneruskan penganjuran ICBF sejak ianya pertama kali dianjurkan pada tahun 2000. Beliau juga merakamkan penghargaan kepada UNSA atas kepercayaan dan sokongan yang diberikan untuk bersama menganjurkan ICBF kali ini
Majlis disempurnakan dengan perasmian oleh Prof, Dr. Rifat Skrijelj, Rektor UNSA. Seterusnya, Prof. Emeritus Dr. Salim Rashid, Profesor Kursi CIMB-UUM, selaku Pengucap Utama telah membahaskan tajuk “What is the ‘invisible hand’ and why does it matters to Muslims?”.
Persidangan ini diteruskan dengan sesi diskusi yang ahli panelnya terdiri daripada Profesor Kemal Kozaric, Dekan School of Economics and Business, UNSA yang juga bekas Gabenor Bank Pusat Bosnia-Herzegovina, Prof. Dr. Obiyathulla Ismath Bacha dari International Centre for Education in Islamic Finance (INCEIF) dan Prof. Dr. Nur Adiana Hiau Abdullah dari UUM dengan dipengerusikan oleh Datuk Noripah Kamso, Felo Pelawat di Islamic Finance, Oxford Centre of Islamic Studies. Pada hari yang sama, wakil kerajaan Bosnia-Herzegovina juga turut memberi taklimat tentang peluang pelaburan di Bosnia-Herzegovina.
Sejumlah 32 kertas kerja dalam bidang Kewangan, Perbankan dan yang berkaitan telah dibentangkan dalam sembilan (9) sesi selari. Peserta konferen juga didedahkan dengan Computable General Equilibrium Models (CGE) dalam bengkel teknikal yang dikendalikan oleh Prof Emeritus Dr Salim Rashid.
Peluang mengadakan konferen di UNSA turut diisi dengan sesi perkongsian pengalaman permatuhan piawaian AACSB dan perbincangan peluang hubungan kerjasama akademik bagi mengekalkan akreditasi AACSB yang berprestij ini. Perbincangan ini dihadiri oleh wakil UUM iaitu Prof. Ku Nor Izah, Pengarah AACSB dan Prof. Yusnidah, PNC COB; dan wakil UNSA, Prof. Jasmina Selimovic dan Prof. Elvir Cizmic.