Forum Pasca Bajet 2019
5 November 2018
TH Hotel, Alor Setar
Bajet 2019: Perbezaan Pandangan Demi Kebaikan Rakyat Dan Negara Harus Dihormati — MB Kedah
UUM ONLINE: Alor Setar - Pembentangan Bajet 2019 yang menimbulkan pelbagai polemik dalam kalangan penganalisis ekonomi sama ada positif atau negatif harus dihormati kerana setiap pihak mempunyai asasnya yang tersendiri.
Menteri Besar Kedah, Yang Amat Berhormat, Dato Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata adakalanya setiap pihak perlu agree to disagree atau bersetuju untuk tidak bersetuju dalam perkara tertentu demi kepentingan rakyat.
"Konsensus atau kompromi dalam pandangan yang berbeza dan pelbagai adalah penting untuk mendapat outcome atau natijah yang terbaik untuk semua pemegang taruh dengan harapan untuk memakmurkan ekonomi negara dan meningkat kebajikan rakyat," ujarnya ketika berucap merasmikan Forum Pasca-Bajet 2019 anjuran Institut Dasar Ekonomi dan Kewangan (ECoFI), Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB) Universiti Utara Malaysia (UUM) di TH Hotel pagi tadi.
Menurut beliau diskusi pasca bajet ini dapat menghasilkan perbincangan yang bermanfaat untuk dijadikan input kepada Kementerian Kewangan Malaysia dalam proses pelaksanaan Bajet pada tahun 2019.
"Platfom wacana seperti Forum Pasca Bajet 2019 ini juga boleh dilaksanakan di peringkat Negeri Kedah dengan Pusat Kecemerlangan ECoFI UUM mengambil inisiatif untuk memberi input kepada Perbendaharaan Negeri Kedah dalam penyediaan strategi Bajet Negeri Kedah untuk tahun 2019 dan tahun-tahun seterusnya.
"Saya juga amat berharap akan wujud kolaborasi penyelidikan dan pembangunan serta inovasi antara UUM dan kerajaan Negeri Kedah, khususnya Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Kedah (BPEN) dengan merangka pelan tindakan Rangka Rancangan Jangka Panjang (Outline Perspective Plan, OPP) Kedah 2020-2035 bagi membangunkan ekonomi negeri Kedah untuk mencapai status ekonomi negeri maju seperti Pulau Pinang dan Selangor," katanya.
Sementara itu, Naib Canselor, Prof. Dr. Ahmad Bashawir Abdul Ghani berkata forum Pasca Bajet 2019 menyediakan platform perkongsian pintar antara UUM-Kerajaan Negeri Kedah yang boleh dimanfaatkan kedua-dua belah pihak dalam mencapai visi dan misi institusi.
"Saya berharap forum ini bukan sekadar forum semata-mata, Resolusi perbincangan perlu dibentuk untuk dijadikan input kepada Kerajaan Pusat dan juga Negeri.
"Kerjasama BPEN dengan ECoFI akan dijadikan model kerjasama pertama dan seterusnya untuk kerjasama penyelidikan, pembangunan dan inovasi antara UUM dengan agensi kerajaan Negeri lain," ujarnya.
Forum Pasca-Bajet 2019 ini mengetengahkan empat (4) orang penceramah terkemuka dari pelbagai latar belakang untuk berbincang dan memberi komen berkaitan bajet semasa terdiri Timbalan Menteri Kewangan, Dato’ Amiruddin Hamzah; Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid; Pengarah BPEN Kedah, Muhamad Mahizi Ibrahim dan pensyarah Pusat Pengajian Antarabangsa, Prof. Madya Abdul Rahim Anuar bersama Prof. Dr. Russayani Ismail dari SEFB sebagai moderator.
Forum Pasca Bajet merupakan acara tahunan anjuran ECoFI UUM bertujuan untuk membincangkan belanjawan negara yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan di parlimen.
Di samping itu forum ini juga memberi peluang kepada orang ramai untuk memahami polisi kerajaan dan menjadi platform kepada mereka untuk menyuarakan pandangan terhadap belanjawan negara, selain menyediakan pengetahuan ekonomi yang menyeluruh yang dapat diguna pakai dalam pelaksanaan dan pelarasan program sepanjang tahun 2019.