All News

SEFB DAN BURSA MALAYSIA RANCAKKAN AKTIVITI BERSAMA

206794808 6142175629141033 728876901247921655 n
SEFB DAN BURSA MALAYSIA RANCAKKAN AKTIVITI BERSAMA
UUM ONLINE: Mesyuarat Jawatankuasa Dana Bursa Malaysia (Bursa Malaysia Endowment Committee (BMEC)) yang dipengerusikan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Shahimi Mohtar, baru-baru ini telah bersetuju untuk melantik seorang Profesor sebagai Profesor Kursi Bursa (Bursa Chair Professor).
Menerusi lantikan tersebut, antara aktiviti yang dicadangkan adalah sesi webinar dan pengumuman rasmi SEFB Bursa Chair Professor, pelancaran Bursa Chair Research Grant, Investment Week, Bursa Malaysia Laureate Lecture atau/dan ‘Bursa Malaysia-UUM Roundtable Discussion (RTD)’ dan latihan kepada staf Bursa Malaysia.
Pengaktifan semula ‘Bursa Chair’ di Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB) ini diharap akan menjadi pemangkin kepada pembangunan ilmu khususnya yang berkaitan dengan industri kewangan dan sekuriti di Malaysia melalui pengembangan dan promosi penyelidikan, pendidikan, dan latihan yang telah dirancang.
Mesyuarat itu turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Dato’ Muhammad Umar Swift; Penolong Naib Canselor UUM COB merangkap Dekan SEFB, Prof. Dr. Russayani Ismail dan pegawai kanan dari Bursa Malaysia serta UUM.
UUM dan Bursa Malaysia telah lama menjalinkan kerjasama sejak Ogos 1997 dengan termeterai satu perjanjian yang mana Bursa Malaysia telah bersetuju untuk memberi endowmen bagi tujuan penubuhan dan pembiayaan kursi akademik dan penyelidikan di UUM. Geran ini kemudiannya bakal dimanfaatkan untuk pembiayaan projek penyelidikan berimpak tinggi, seminar dan sebarang aktiviti yang berkaitan dengan pasaran modal hasil perundingan bersama Bursa Malaysia.
Pada Disember tahun lalu, UUM menerusi SEFB telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) baharu dengan Bursa Malaysia bagi mengaktifkan semula dana yang telah dilaburkan.