All News

FORUM PASCA BAJET CARI PENYELESAIAN BANGUNKAN EKONOMI NEGARAFORUM PASCA BAJET CARI PENYELESAIAN BANGUNKAN EKONOMI NEGARA

124597575 3461826260605650 375611917429687977 o

FORUM PASCA BAJET CARI PENYELESAIAN BANGUNKAN EKONOMI NEGARA
UUM ONLINE: Forum Pasca Bajet 2021 dilihat relevan untuk mengetengahkan peranan institusi pendidikan dalam membantu kerajaan Malaysia mencari pemahaman dan penyelesaian terbaik bagi membangunkan ekonomi negara dalam kemelut pandemik Covid-19.
Naib Canselor, Prof. Dato' Dr. Ahmad Bashawir Abdul Ghani berkata, bajet kali ini jelas menjurus kepada pelan pemulihan ekonomi secara keseluruhan selepas menerima kesan negatif daripada pandemik yang melanda dunia.
Menurutnya, Bajet 2021 dirangka merentasi empat tema utama dengan kesemuanya berpusat pada pengwujudan kerajaan yang lebih baik dan keempat tema itu merangkumi aspek kepedulian rakyat, pemacuan ekonomi, kehidupan yang mampan dan penambahbaikan penyampaian perkhidmatan awam.
Katanya, Covid-19 telah mengubah cara ekonomi beroperasi, malah mengubah corak kehidupan ke arah norma baharu.
"Bagi memperkasakan pembangunan pendidikan negara, sebanyak RM14.4 bilion telah diperuntukkan dengan RM11.58 bilion diperuntukkan untuk perbelanjaan mengurus dan RM2.82 bilion untuk perbelanjaan pembangunan, sekali gus selaras dengan usaha Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi menjayakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi).
"Bajet 2021 juga telah memperkenalkan lapan inisiatif bagi membantu graduan dan KPT demi pembangunan pendidikan tinggi dan kebolehpasaran graduan," katanya ketika merasmikan Forum Pasca Bajet 2021 anjuran Institut Kajian Ekonomi dan Kewangan (ECoFI), Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB), hari ini.
Tambah beliau, diharapkan Forum Pasca Bajet 2021 itu dapat memanfaatkan semua orang sebagai tanda usaha dan sumbangan universiti untuk bersama-sama dengan kerajaan dalam memerangi cabaran penularan Covid-19 dan kesannya ke atas ekonomi negara.
Menurutnya, semoga semua dapat berempak bersama-sama dan terus berusaha untuk menggerakkan semula ekonomi negara demi kesejahteraan rakyat.
“For inclusive growth, you need inclusive debate, and that is what we are here to do".
Forum Pasca Bajet 2021 yang bertemakan ‘Transformasi Sektor Awam Bagi Memacu Pertumbuhan Ekonomi Era Norma Baharu Ke Arah Kesejahteraan Rakyat’ julung kali diadakan secara atas talian dan mengetengahkan empat panel terkemuka dari pelbagai latar belakang iaitu Pengerusi Jawatankuasa Tetap Industri dan Pelaburan, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Pengajian Tinggi Negeri Kedah, Dato' Dr. Ku Abd Rahman Ku Ismail; Ketua Eksekutif, Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Datuk Seri Jebasingam Issace John; Penasihat Kanan, Institut Penyelidikan Khazanah, Prof. Dr. Jomo Kwame Sundaram dan moderator, Prof. Dr. Russayani Ismail yang merupakan Dekan SEFB.
Pada sesi tersebut, Dato' Dr. Ku Abd Rahman berterima kasih kepada kerajaan kerana Kedah mendapat banyak insentif dalam apa jua belanjawan yang dibentangkan setiap tahun terutama bagi sektor pembuatan dan perkhidmatan.
Sementara itu, Datuk Seri Jebasingam berkata, Belanjawan 2021 kali ini bersifat inklusif dan mengutamakan kesejahteraan rakyat dalam menghadapi pandemik Covid-19 dan NCIA akan memberikan penekanan kepada kawasan kurang membangun seperti daerah Baling dan Sik dalam usaha menggalakkan pelaburan dan merancakkan pertumbuhan ekonomi wilayah.
Bagi Prof. Dr. Jomo, pendekatan yang diambil sekarang adalah dengan melibatkan rakyat secara menyeluruh kerana masih ramai yang tidak memahami tujuan sesuatu langkah diambil seperti dalam usaha kerajaan untuk melawan penularan Covid-19.
Mengakhiri forum tersebut, Naib Canselor berkata, kerajaan mengambil serius tentang sektor pendidikan yang mana pelajar bukan hanya sakadar memiliki segulung ijazah, malah perlu memiliki kemahiran tertentu untuk berdaya maju
Oleh: Nordiana Shafiee
Gambar oleh: Shamsaimi Ezil