All News

TERIMA KASIH: KARISMA PROF. DR. YUSNIDAH 32 TAHUN MENCURAH BAKTI

yus

TERIMA KASIH: KARISMA PROF. DR. YUSNIDAH 32 TAHUN MENCURAH BAKTI
UUM ONLINE: Tegas kerana benar, menjiwai bidang yang diceburi, fokus, komited, semangat juang yang tinggi, kerja dengan ikhlas, bersungguh-sungguh dan menyerahkan soal rezeki kepada Allah. Itulah prinsip yang dipegang Prof. Dr. Yusnidah Ibrahim yang tidak pernah kenal erti penat lelah sentiasa mengukir senyuman walau apapun cabaran yang datang.
32 tahun masa beredar begitu pantas, sudah tiba masanya Prof. Dr. Yusnidah Ibrahim melabuhkan tirai perkhidmatan di Universiti Utara Malaysia pada 28 Disember, tarikh keramat yang jatuh pada sambutan ulang tahun kelahiran beliau.
Tiga tahun mengemudi jawatan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), anak kelahiran Pulau Pinang, Prof. Dr. Yusnidah memulakan kerjayanya sebagai pensyarah di UUM pada 1987.
Beliau merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Aktuari dari University of Iowa, Amerika, Ijazah Sarjana dalam Sains Aktuari di universiti sama dan PhD dalam Kewangan dari De Montfort University, United Kingdom.
Dalam tempoh 32 tahun bersama UUM, beliau menyandang pelbagai jawatan antaranya Penolong Naib Canselor UUM COB dan Dekan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB).
Meskipun sibuk menggalas tugas pentadbiran, beliau tetap berdedikasi melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang ahli akademik dan telah melahirkan seramai 20 graduan PhD, menghasilkan 28 artikel jurnal berindeks Scopus dan menjalankan beberapa penyelidikan dan perundingan selain memiliki kelayakan profesional sebagai ‘Registered Financial Planner’.
Malah, demi memenuhi hasratnya untuk berbakti secara langsung terhadap universiti, Prof. Dr. Yusnidah juga sanggup menerima tawaran sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) dari 1 Oktober 2017 hingga 2020.
“Sasaran saya adalah untuk menjadikan UUM sebagai pusat rujukan utama dan dihormati dalam bidang berkaitan pengurusan melalui program yang mantap dan pensyarah yang hebat untuk melahirkan ‘industry ready’ dan ‘future ready graduates’ serta jalinan hubungan baik dengan universiti luar negara terutamanya ‘reputable’ universiti,” katanya.
Kepimpinannya yang berwibawa menyumbang kepada peningkatan QS Ranking UUM dan penjanaan pendapatan universiti melalui pencapaian yang memberangsangkan seperti penambahbaikan sistem Betta untuk semua staf akademik, kemaskini kriteria kenaikan pangkat serta perancangan dan pelaksanaan pengajian lanjutan staf akademik (PhD, Pacsa Siswazah, Sabatikal dan Latihan Industri).
Perkara yang membanggakan apabila peningkatan ranking UUM setiap tahun sekali gus menunjukkan peningkatan kualiti program akademik, staf akademik, hubungan dengan industri dan hubungan dengan universiti dalam dan luar negara selain UUM muncul sebagai universiti berakrediatsi ‘Association of Advance Collegiate Schools of Business’ (AACSB).
Antara pencapaian lain menambahbaik sistem 'major minor' untuk memberi peluang kepada pelajar memilih satu lagi bidang yang diminati dan pada masa yang sama menangani masalah kekangan tenaga pengajar dalam bidang tertentu, memulakan penawaran laluan terbuka program sarjana muda serta penetapan tarikh pengijazahan pada tarikh kelulusan Senat yang membolehkan pelajar mendapat sijil lebih cepat.
Beliau mengetuai semakan kriteria kenaikan pangkat staf akademik dan perlaksanaan ‘multiple tracks career path’ yang dapat membantu agenda ranking UUM, sekali gus menjadi universiti yang dihormati.
Dalam aspek pengantarabangsaan, beliau mempergiatkan usaha dalam memastikan kemasukan ramai pelajar antarabangsa peringkat siswazah sejak tahun 2017 ke universiti, meningkatkan hubungan dan jaringan kerjasama dengan institusi luar negara yang mana jumlah MoU/MoA antarabangsa aktif sehingga 31 Disember 2019 adalah sebanyak 98.
Ditanya tentang cabaran yang dilalui, Prof. Dr. Yusnidah berkata, pandemik Covid-19 yang melanda dunia dan negara mulai penghujung tahun 2019 hingga ke 2020 adalah tahun yang cukup mencabar dan benar-benar mengujinya.
“Pandemik ini telah mengubah sistem pendidikan dari aspek pengajaran dan pembelajaran (PdP) seperti kelangsungan program akademik di UUM, ‘remote learning’ dari segi kesediaan pensyarah dan pelajar, perubahan sistem pentaksiran, keadilan kepada pelajar yang tidak mempunyai jaringan kepada pembelajaran atas talian yang baik serta masalah penempatan pelajar praktikum.
“Sewaktu pandemik Covid-19, kita perlu membuat keputusan yang seimbang dengan mengambil kira antara faktor keselamatan dan penjanaan pendapatan,” katanya.
Pada Oktober lalu, beliau menerima watikah kenaikan pangkat sebagai Profesor (VK6) dan bersyukur dengan pengiktirafan yang diberikan UUM.
Katanya, masa berlalu begitu pantas dan tiga tahun memegang jawatan sebagai Timbalan Naib Canselor (A&A) membuatnya ingin terus memberikan khidmat bakti yang terbaik kepada universiti, namun beliau percaya di atas kebolehan dan kemampuan penggantinya yang berpengalaman luas dan memiliki kepakaran tersendiri.
Cetusan idea, dorongan dan sokongan pemimpin tertinggi UUM, Naib Canselor serta kerjasama daripada dekan dan pengarah adalah penyumbang kejayaannya.
“Saya bertuah kerana mempunyai suami, Prof. Dr. Mohd Sobri Minai yang begitu memahami tanggungjawab saya dan sentiasa memberi sokongan untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada UUM.
“Semoga UUM terus cemerlang di bawah pengurusan Naib Canselor serta semua warga kampus yang berdedikasi membantu untuk meletakkan UUM pada tahap lebih baik menuju ke arah Universiti Pengurusan Terkemuka,” katanya.