All News

UUM Dan Kerajaan Negeri Kedah Perkukuh Kerjasama Dalam Pelbagai Bidang

pasca bajet b2020

UUM Dan Kerajaan Negeri Kedah Perkukuh Kerjasama Dalam Pelbagai Bidang

 

UUM ONLINE: Alor Setar - Universiti memainkan peranan dalam membantu industri tempatan berinovasi dalam era Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0) bagi melonjakkan pembangunan negeri Kedah.

Menteri Besar, Dato’ Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata, kerjasama erat antara universiti dan industri harus digiatkan lagi dalam menguruskan teknologi di era IR4.0 itu agar setanding dengan negara maju Korea, Taiwan dan China.

Menurutnya, ia merupakan satu pendekatan yang sangat penting untuk menguasai teknologi jika negara tidak mahu ketinggalan, seterusnya tidak dapat bersaing dengan negara maju.

“Kita memberi tumpuan kepada teknologi terkini yang mana memerlukan kita untuk menggabungkan sumber yang ada dan terhad bagi menjana hasil diharapkan.

“Malaysia juga berusaha meningkatkan perkhidmatan dan produk untuk dieksport, seterusnya menyumbang kepada tukaran mata wang asing.

“Pada pandangan saya kita, kita harus keluar dari zon selesa dan perlu meluaskan pasaran dengan mencari pasaran baru serta tidak terlalu bergantung kepada sektor tertentu sahaja,” katanya pada Majlis Perasmian Forum pasca Bajet 2020 di TH Hotel, semalam.

Beliau berkata, platform wacana seperti Forum Pasca Bajet 2020 ini amat bertepatan sekali dilaksanakan di peringkat negeri Kedah untuk memberi input kepada Perbendaharaan Negeri Kedah dalam mengatur strategi bajet 2020.

Menurutnya, beliau berharap perbincangan itu dapat diperhalusi dan peserta dapat mengemukakan cadangan bernas untuk pertimbangan kerajaan negeri.

Katanya, semoga forum tersebut akan memberi banyak idea kepada kerajaaan negeri untuk memperincikan semua keperluan rakyat

Beliau turut mengulas tentang pengumuman Belanjawan 2020 Jumaat lalu yang menyediakan peruntukan untuk TVET (Pendidikan Teknikal Dan Latihan Vokasional) dalam usaha memberi peluang pekerjaan kepada rakyata tempatan tanpa perlu bergantung kepada pekerja asing.

“Ini dapat menyelesaikan masalah pengangguran di kalangan graduan dan apa juga pembangunan yang dicadangkan adalah untuk mewujudkan peluang pekerjaan supaya tidak ada lagi sebarang alasan ke arah pengangguran,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Ahmad Bashawir Abdul Ghani berkata, pengumuman kerajaan melalui Bajet 2020 bahawa sumbangan wakaf tunai kepada universiti awam dan sumbangan ‘endowmen’ dalam bentuk tunai kepada universiti awam kini diberikan potongan cukai merupakan satu langkah amat baik agar lebih memperkasakan universiti awam dalam menjana pendapatan sendiri.

“Dengan adanya potongan cukai ini maka sudah pastilah akan menarik minat dan meningkatkan insentif untuk penyumbang memberi sumbangan wakaf tunai dan sumbangan ‘endowmen’ dalam bentuk tunai kepada universiti awam sekali gus meningkatkan lagi sumber pendapatan dan mengurangkan bebanan kewangan universiti awam.

“Tidak mustahil langkah ini akan membolehkan universiti awam di Malaysia berdikari dalam menguruskan operasinya menerusi perolehan dana wakaf dan endowmen sehingga ia akhirnya mampu mencontohi kehebatan Universiti al-Azhar di Mesir, Universiti Oxford Cambridge di United Kingdom dan Universiti Harvard di United States,” katanya.

Manakala Pengerusi, Forum Pasca Bajet 2020 Dr. Edie Erman Che Johari berkata, Forum Pasca Bajet 2020 di bawah Institut Dasar Ekonomi dan Kewangan (ECoFI), Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB) merupakan acara tahunan yang bertujuan untuk membincangkan belanjawan negara yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan di Parlimen.

Menurutnya, forum itu membolehkan pakar ekonomi dan penggubal polisi membicarakan strategi jangka pendek ekonomi negara dalam mencapai hala tuju pembangunan ekonomi jangka panjang dan bagaimana memberi kesan kepada orang ramai.

Forum Pasca Bajet 2020 mengetengahkan empat penceramah terkemuka iaitu Pengarah Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Kedah, Muhamad Mahazi Ibrahim; Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid; Pengarah Bait Al-Amanah, Dr. Abdul Razak Ahmad dan Ketua Pegawai Operasi, Strand Aerospace Malaysia Sdn. Bhd., Naguib Mohd Nor serta moderator, Prof. Dr. Roslan Abdul Hakim dari UUM.